Dalam laporan muka satu itu, akhbar berkenaan memetik sumber-sumber sebagai berkata bahawa plot untuk membunuh perdana menteri itu dirancang akan dilakukan dalam tempoh sebulan dua ini.
Akhbar itu juga mendakwa pemimpin politik tempatan merupakan perancang di sebalik konspirasi jahat ini.
Ia memetik sumber-sumber itu sebagai berkata, mereka di belakang konspirasi ini telah mengupah seorang yang dikenali dengan panggilan "Raja Komando" untuk melaksanakan rancangan ini.
Apa yang mungkin akan mencetuskan kontroversi di sebalik dakwaan ini ialah laporan akhbar itu untuk mengaitkan tokoh politik tempatan di sebalik konspirasi tersebut.
Malah menamakan "Raja Komando" sebagai orang yang akan melaksanakan tugas membunuh itu juga akan mencetuskan kontroversi serta kekeliruan di kalangan orang-ramai memandangkan terdapat seorang aktivis parti pembangkang yang juga digelar "Raja Komando".
Orang-ramai yang mengenali aktivis itu mungkin akan terkeliru dan menyangka beliau terlibat dengan rancangan jenayah itu.
Aktivis parti pembangkang yang juga dikenali dengan panggilan "Raja Komando" itu merupakan sepupu kepada Raja Petra Raja Kamarudin, pengarah Kempen Bebaskan Anwar.
Dalam pada itu akhbar The Sun juga melaporkan bahawa kawalan ketat telah mula diberikan di sekitar kawasan sensitif seperti Jabatan Perdana Menteri dan juga Sri Perdana sejak polis berjaya menjejaki plot tersebut.
Kata akhbar itu, Cawangan Khas Polis telah berjaya menjejaki plot tersebut beberapa bulan lalu.